25 Februari 2026 β Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, berkenan mencemar duli menghadiri sesi taklimat jabatan kerajaan yang dimulakan di tingkat 3 Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus sebelum berangkat ke Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Kuala Nerus di Bangunan Gunasama.
Sejurus keberangkatan tiba, baginda berkenan menandatangani buku pelawat sebelum mendengar taklimat yang disampaikan oleh Jurutera Daerah, Ir. Aisyah binti Abu Bakar. Taklimat tersebut memfokuskan kepada perkembangan projek semasa serta perancangan strategik pengurusan pengairan dan saliran di daerah Kuala Nerus, termasuk usaha mitigasi banjir dan penyelenggaraan infrastruktur sedia ada.
Baginda turut meluangkan masa beramah mesra bersama warga kerja jabatan serta merakamkan foto kenangan bersama seluruh kakitangan. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan dan kenangan atas keberangkatan baginda.
Keberangkatan ini menggambarkan keprihatinan DYTM Yang Di-Pertuan Muda terhadap perkembangan pembangunan serta kesejahteraan rakyat. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang telah bekerjasama dalam menjayakan taklimat ini. Kerjasama erat antara agensi kerajaan serta sokongan berterusan amat penting dalam memastikan pembangunan yang mampan dan memberi manfaat kepada rakyat.












